comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Ismahalil bebas atau bela diri diketahui 27 Februari ini

Ismahalil Hamzah. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada penyampai radio Ismahalil Hamzah dipanggil untuk membela diri atau dibebaskan atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dua tahun lepas, akan diketahui 27 Februari ini di Mahkamah Tinggi di sini.

Sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada pihak pendakwaan yang berpendapat wujud kes prima facie terhadap Ismahalil, maka dia akan dipanggil membela diri manakala jika sebaliknya, lelaki itu dilepas dan dibebaskan.

Peguam Adi Zulkarnain Zulkafli yang mewakili tertuduh ketika dihubungi hari ini mengesahkan tarikh keputusan itu dan memaklumkan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin dijadual membacakan keputusan pada akhir kes pendakwaan itu jam 9 pagi.

“Sebelum ini, perbicaraan berlangsung pada 19, 20 dan 31 Oktober 2022, kemudian bersambung pada 3 dan 9 Januari lalu. Seramai lima saksi pendakwaan memberi keterangan di mahkamah,” kata peguam itu.

Menurut peguam, mahkamah juga menetapkan 9 Februari ini untuk pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan bertulis.

Ismahalil, 49, mengaku tidak bersalah atas dakwaan mengedar dadah jenis kanabis anggaran berat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju di sini, pada 5.35 petang, 27 Ogos 2021.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

Loading...
Terkini