comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Jabatan Peguam Negara bawa kepada perhatian mahkamah

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan di sini hari ini memaklumkan akan membawa perkara berkaitan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berhubung Afidavit Tambahan No 3 kepada pihak mahkamah.

“Merujuk kepada kenyataan media dikeluarkan Tengku Zafrul bertarikh 17 April 2024 mengenai Afidavit Tambahan No 3 yang diikrarkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 9 April 2024 dalam prosiding undang-undang yang dimulakan oleh Datuk SeriNajib Razak di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui Prosiding Semakan Kehakiman No WA-25- 136-04/2024.

“Jabatan Peguam Negara akan membawa perkara ini kepada perhatian pihak mahkamah,” menurut kenyataan yang dikeluarkan.

Terdahulu, Tengku Zafrul menyatakan akan membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk meminta kebenaran bagi memfailkan afidavitnya, bagi membetulkan beberapa kesilapan fakta yang terkandung dalam afidavit tambahan berkenaan.

Beliau juga dilaporkan akan mendapatkan nasihat undang-undang yang sesuai berhubung perkara itu.

Menerusi afidavit diikrarkan Ahmad Zahid pada 9 April lalu, Timbalan Perdana itu berkata, beliau dimaklumkan mengenai kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, oleh Tengku Zafrul ketika pertemuan di rumah Presiden UMNO berkenaan di Country Heights, pada 30 Januari lalu.

Titah Adendum itu supaya Najib menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dilaporkan berkata, Tengku Zafrul menunjukkan kepadanya salinan Titah Adendum itu pada telefonnya yang diambil gambar dan diimbas sendiri daripada salinan asal seperti ditunjukkan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini