comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Kerani firma guaman didakwa menyamar peguam, beri keterangan palsu

 

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Seorang kerani firma guaman didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan iaitu menyamar sebagai peguam dan memberi keterangan palsu dalam prosiding perbicaraan kes di mahkamah tinggi.

Bagaimanapun, tertuduh, K Maragatham, 63, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Nurul Izzah Shaharuddin.

Mengikut pertuduhan pertama, wanita itu didakwa dengan sengaja memberi keterangan palsu berkenaan satu dokumen Ambank yang ditandakan sebagai ‘IDD4(10)’ dan keterangan itu diketahui adalah palsu dalam prosiding perbicaraan kes di hadapan Hakim Datuk Azimah Omar di dalam Mahkamah Tinggi Sivil, di sini, pada 28 Oktober 2022.

Oleh itu dia didakwa mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Bagi pertuduhan kedua, warga emas itu didakwa secara sengaja berpura-pura menggunakan gelaran peguam bagi satu firma untuk bertindak sebagai seorang peguam cara di sebuah restoran di Plaza Damansara, di sini pada 3 Februari 2018.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 37(1)(b) Akta Profesion Undang-Undang 1976 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 37(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,500 atau penjara tidak melebihi tempoh enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Sheryn Yong Shi Yee menawarkan jaminan RM8,000 atas dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Peguam Thayalan Moorthy yang mewakili tertuduh merayu supaya jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai kerani di sebuah firma guaman.

“Saya mohon supaya mahkamah mengambil kira anak guam yang juga warga emas dan jaminan diberikan pada kadar rendah,” katanya.

Mendengar hujah kedua-dua pihak, Nurul Izzah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 8 Ogos depan untuk sebutan kes.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini