comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Kes Bella: Nasib Siti Bainun Ditentukan 24 November ini

KUALA LUMPUR: Nasib pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali akan ditentukan 24 November ini berhubung dakwaan mengabai dan menganiaya remaja perempuan Sindrom Down dikenali Bella.

Ia selepas pihak pendakwaan perbicaraan kes Siti Bainun mengumumkan penutupan kes hari ini.

22 saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad yang mengetuai pasukan pendakwaan memberitahu mahkamah, pihaknya menutup kes terbabit selepas saksi ke- 22 iaitu juruteknik sebuah syarikat penapis air Mohamed Rezuan Satori, 25, selesai memberi keterangan petang ini.

“Dengan berakhirnya keterangan saksi ke-22 hari ini, pihak pendakwaan menutup kes,” katanya dalam prosiding hari ini.

Beliau turut memaklumkan pihaknya, menawarkan 15 saksi kepada pihak pembelaan antaranya beberapa bekas penghuni Rumah Bonda dan rakan Siti Bainun.

Dalam pada itu, Hakim Izralizam Sanusi memerintahkan pihak terbabit memfailkan hujahan bertulis sebelum atau pada 18 November sebelum mahkamah membuat keputusan di akhir kes pendakwaan pada 24 November ini.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak,” katanya.

Perbicaraan kes itu bermula sejak 30 Mac lalu dengan saksi pendakwaan yang dipanggil untuk memberi keterangan antaranya ialah mangsa sendiri iaitu Bella, pakar psikiatri, Dr Wan Asyikin Wan Azlan, pembantu pengurus syarikat swasta, Zurianty Sudin, pakar bedah plastik, Dr Salmi Mohamed Shukur serta bekas penghuni Rumah Bonda merangkap saksi pendakwaan kelima, Yasmin Nahar Mahmood, 19.

Siti Bainun berdepan dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Wanita itu dituduh melakukan perbuatan terbabit di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Jika sabit kesalahan, Siti Bainun berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini