comscore
Tumpuan :
Jenayah

Bella dibunuh kerana cemburu, sakit hati

FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan kematian Bella atau nama sebenarnya Mila Sharmila Samsusah, 32, disebabkan keretakan di kepala mangsa akibat objek tumpul dan motif pembunuhannya kerana cemburu dan sakit hati.

Beliau berkata, perkara itu dikenal pasti hasil siasatan menyeluruh dilakukan pihak polis.

“Motif pembunuhan Bella adalah kerana kes cemburu dan sakit hati. Daripada motif itulah kita memulakan dan mendapat bayangan siasatan kita, jadi inilah motif yang kita tahu menerusi siasatan dibuat,” katanya pada sidang media selepas majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Johor, Timbalan Ketua Polis Johor dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Johor hari ini.

Bella dilaporkan hilang pada malam 14 Disember lalu selepas keluar ke kedai dobi bersama teman lelakinya.

Kehilangan Bella yang mempunyai dua anak, Eusof Abdul Fatah, 4, dan Maream Isabel, 2, hanya disedari pada keesokan hari selepas mesej dan panggilan telefon dihantar kakaknya, Norhisham, tidak dijawab.

Polis kemudian menahan teman lelaki Bella berusia 24 tahun dan disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan turut menahan dua lagi individu dipercayai ada kaitan dengan kehilangan Bella bagi membantu siasatan.

Jumaat lalu, rangka seorang wanita ditemukan di sebuah rumah terbiar di Batu 7, Tongkang Pechah, selepas suspek ditahan sebaik tiba di tanah air selepas menunaikan umrah bersama keluarga.

Semalam, Ketua Polis Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah dilaporkan mengesahkan rangka yang ditemukan itu adalah Bella hasil keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dibuat.

Mengenai dakwaan netizen yang tular di media sosial kononnya Bella mengandung, beliau berkata, hanya laporan bedah siasat menyeluruh yang dapat menentukan perkara itu.

“Disebabkan kita jumpa rangka saja, perkara itu tidak dapat disahkan. Sama ada mangsa mengandung atau tidak, laporan bedah siasat menyeluruh akan menentukannya,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini