comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Kes bunuh CEO Cradle Fund: Rayuan keputusan bebas Samirah, 2 remaja diketahui hari ini

Samirah Muzaffar. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Keputusan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Samirah Muzaffar dan dua remaja atas pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan, dijangka diketahui hari ini.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim serta Datuk Azhahari Kamal Ramli, dijangka membuat keputusan berkenaan pada jam 2 petang.

Samirah, dua remaja berusia 18 dan 21 tahun serta seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari, didakwa membunuh Nazrin, 45, di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara jam 11.30 malam pada 13 Jun 2018 hingga jam 4 pagi pada 14 Jun 2018.

Dalam prosiding rayuan sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Amril Johari, berhujah percikan darah pada dinding bilik yang terbakar di mana lokasi mayat Nazrin ditemui, adalah sepadan dengan asid deoksiribonukleik (DNA) mangsa.

Beliau dipetik berkata, pegawai forensik Bukit Aman, Asisten Superintendan Nizam Hussain selaku saksi ke-39 pendakwaan, mengesahkan kesan darah dijumpai pada dinding tempat kejadian adalah konsisten dengan kesan terkena objek tumpul dan bukan kesan tembakan mahupun letupan.

Beliau dilaporkan berhujah, pihak pembelaan menunjukkan bukti kukuh dan keterangan saksi yang menyangkal dakwaan kebakaran, penemuan petrol serta pelbagai elemen pertuduhan pembunuhan.

Peguam itu menegaskan, pihak pendakwaan tidak mengemukakan sebarang bukti yang boleh dipercayai, apatah lagi keterangan mengikut keadaan yang membawa kepada kesimpulan bahawa tertuduh melakukan pembunuhan.

Pada 21 Jun 2022, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Ab Karim Ab Rahman, melepas dan membebaskan Samirah bersama dua remaja terbabit selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini