comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Mahkamah Tinggi tentukan nasib Syed Saddiq esok

KUALA LUMPUR: Sama ada bebas atau bersalah nasib Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan diketahui esok membabitkan empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid dijadual membacakan keputusannya jam 9 pagi.

Pada 14 Mac lalu, pembelaan menutup kes selepas memanggil Syed Saddiq dan tiga saksi lain manakala pendakwaan pula mengemukakan 30 saksi pada perbicaraan kes itu yang bermula 21 Jun tahun lalu.

Kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Mohd ‘Afif Ali manakala peguam, Gobind Singh Deo dan Haijan Omar mewakili Syed Saddiq.

Pada 28 Oktober 2022, Mahkamah Tinggi memerintahkan Syed Saddiq membela diri selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim, yang diamanahkan dengan dana ARMADA berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakannya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik ARMADA Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang terbabit.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 hingga 21 April 2018.

Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu dituduh melakukan kesalahan terbabit di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru, Johor pada 16 dan 19 Jun 2018.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini