comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Lelaki didakwa curi peti besi dan barang peribadi bernilai RM100,000

FOTO: NSTP

MELAKA: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan melakukan pecah rumah dan curi peti besi membabitkan kerugian kira-kira RM100,000, bulan lalu.

Tertuduh, S Williams, 54, membuat pengakuan itu sejurus dibacakan pertuduhan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Mengikut kertas pertuduhan dia yang beralamat di Taman Perling, Johor Bahru, Johor dituduh melakukan pecah rumah dan mencuri peti besi serta barang peribadi milik SS Selvarajah, mengakibatkan kerugian kira-kira RM10,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di alamat No 389D, Jalan Dahlia 7, Taman Bunga Raya, Bukit Beruang pada 25 Oktober lalu antara jam 7.30 malam hingga 10 malam.

Dia dituduh mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Pihak pendakwaaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya J Banusha tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh yang ditangkap semula pada 26 Oktober lalu.

Menurutnya ini kerana tertuduh sebelum ini turut didakwa di mahkamah lain atas empat kes berkaitan jenayah sama mengikut Seksyen 457 dan 411 Kanun Keseksaan.

Peguam Ow Su Wan merayu jaminan dibenarkan atas alasan pertuduhan dihadapi anak guamnya adalah kesalahan yang boleh dijamin.

Selepas meneliti hujah kedua-dua pihak mahkamah membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM4,500 dengan seorang penjamin.

Kes ditetapkan untuk sebutan pengurusan kes pada 14 Disember depan.

Loading...
Terkini