comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Lokman Adam dilepas dan dibebaskan

 

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Lokman Noor Adam daripada pertuduhan menyebarkan berita palsu melalui rakaman audio visual mengenai virus Covid-19, dua tahun lalu.

Hakim N Priscilla Hemamalini membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Lokman, 50, di akhir kes pendakwaan.

“Sehubungan itu, OKS (orang kena saman) dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan ini,” katanya.

1 Oktober 2021, pemimpin Umno itu mengaku tidak bersalah menyebarkan berita tidak benar melalui rakaman audio visual mengenai kemasukan warga India ke Malaysia yang menjadi penyebab penyebaran virus Covid-19.

Penyebaran melalui aplikasi media sosial Facebook atas nama profil ‘Lokman Adam’ itu dengan niat untuk menyebabkan kebimbangan kepada orang awam yang didakwa dilakukan pada 3 Mei 2021.

Rakaman itu kemudian dilihat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, di sini pada 4.40 petang, 9 Mei 2021.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 2021 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Seramai enam saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan kes bermula 6 Mac lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datin Kalmizah Salleh manakala Lokman diwakili peguam Logen Eskander.

Loading...
Terkini