comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Mahkamah batal kemenangan Che Alias di Parlimen Kemaman

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Pilihan Raya di sini, hari ini, membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang mewakili PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Anselm Charles Fernandis yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Pilihan Raya, membenarkan petisyen pilihan raya yang difailkan pempetisyen, Wan Mohd Hisyam Wan Abdul.

Keputusan dibuat selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU-15.

Mahkamah turut memerintahkan pihak responden membayar kos sebanyak RM30,000 kepada pihak pempestiyen.

Bagaimanapun mahkamah hari ini bersetuju untuk menangguhkan pemakluman kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersabit keputusan mahkamah hari ini sehingga 3 Oktober depan sementara menunggu tindakan atau rayuan dari pihak responden.

Prosiding hari ini, Barisan Nasional diwakili Peguam Datuk Hafarizam Harun manakala PAS diwakili oleh Wan Rohaimi Wan Daud.

Pada 3 Januari lalu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said memberitahu, pihaknya memfailkan petisyen memohon mahkamah membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) melibatkan Parlimen Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu.

Menurut Ahmad, petisyen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu kerana didakwa berlakunya pengagihan wang secara berleluasa di ketiga-tiga kawasan itu.

Bagaimanapun, pada 12 Februari, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu menolak petisyen yang dikemukakan BN dan mengekalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid di Parlimen Kemaman pada PRU15.

Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd. Abas membuat keputusan tersebut selepas bersetuju bantahan awal responden Ahli Parlimen Kemaman terhadap petisyen keputusan bagi Parlimen tersebut.

Namun, pada 2 Mei lalu, Mahkamah Persekutuan memerintahkan petisyen pilihan raya yang difailkan untuk mencabar keputusan PRU-15 bagi Parlimen Kemaman dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan rayuan yang dikemuka oleh BN dan pengundi dari Parlimen Kemaman supaya mahkamah mendengar perbicaraan penuh petisyen berkenaan.

Dalam PRU15, Che Alias memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh sebanyak 65,714 undi menewaskan Ahmad yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.

Dua lagi calon yang bertanding di Parlimen itu, Rosli Ab. Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (Pakatan Harapan) masing- masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340 undi.

Loading...
Terkini