comscore
Tumpuan :
Nasional

KDN akan teruskan siasatan stoking kalimah Allah

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, menjawab soalan di Dewan Rakyat, hari ini.

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneruskan siasatan berhubung penjualan stoking tertera kalimah Allah walaupun permohonan maaf telah dibuat oleh KK Mart dan vendornya.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, ia bagi menangani isu yang telah mencetuskan kegemparan dan kegusaran awam.

“KDN memandang serius isu ini dan tindakan penguatkuasaan diambil dengan melaksanakan (pemeriksaan) di semua premis KK Mart di seluruh negara.

“Hasil pemeriksaan yang kita buat, didapati KK Mart telah menarik balik semua stoking berkenaan di semua cawangannya di seluruh negara.

“Namun demikian, siasatan lanjut kita laksanakan terhadap pengurusan dan vendor-vendor yang terlibat bagi memastikan stoking ini tidak lagi berada di pasaran dalam negara ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) apakah tindakan yang akan diambil oleh KDN bagi menoktahkan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah ini dan adakah akan membuat pindaan terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, sehingga kini pihak polis telah menerima 36 laporan polis mengenai penjualan stoking berkenaan dan satu kertas siasatan telah dibuka.

Katanya, jika disabit kesalahan, pihak berkaitan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini