comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Mahkamah tolak saman pemula Charles Santiago berhubung pembubaran Parlimen

Charles Anthony Santiago

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak saman pemula yang dikemukakan penyandang kerusi Parlimen Klang, Charles Santiago berhubung pembubaran Parlimen ke-14 yang didakwa menyalahi Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan kerana tidak dibuat berdasarkan nasihat Jemaah Menteri.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid membuat keputusan itu selepas memutuskan bahawa saman pemula yang difailkan pada 11 Oktober lalu membabitkan pembubaran Parlimen adalah perkara yang tidak boleh diadili oleh mahkamah.

Beliau berkata, kuasa prerogatif terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai budi bicara mutlak untuk membubarkan Parlimen.

Katanya, Perdana Menteri selaku Ketua Eksekutif tidak perlu mendapatkan nasihat Jemaah Menteri bagi membuat permintaan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

“Kuasa untuk meminta pembubaran Parlimen terletak kepada kuasa Perdana Menteri sepenuhnya dan ia tidak boleh diadili di mahkamah.

“Sehubungan itu saya mendapati saman pemula plaintif tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah dan ia remeh, menyusahkan serta satu penyalahgunaan proses mahkamah,” katanya.

Charles selaku plaintif memfailkan saman pada 11 Oktober lalu antaranya memohon perisytiharan bahawa permintaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada Yang di-Pertuan Agong pada 9 Oktober lalu untuk pembubaran Parlimen ke-14 adalah menyalahi Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan kerana permintaan itu tidak dibuat berdasarkan nasihat atau kuasa am Jemaah Menteri, oleh itu terbatal serta tidak sah.

Beliau juga memohon perintah mahkamah supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dihentikan atas alasan musim banjir. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini