comscore
Tumpuan :
Nasional

Fitnah Zakir Naik : Santiago mohon maaf

 

KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pendakwah, Dr Zakir Naik atas kenyataan memfitnah dalam satu ceramah empat tahun lalu.

Permohonan maaf itu dibuat selepas Mahkamah Tinggi mendapati kenyataan Charles dalam ceramah bertajuk ‘Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE)’ pada 25 November 2019, memfitnah Zakir.

Hakim Datuk Akhtar Tahir  bagaimanapun mengambil maklum kenyataan itu sebenarnya meningkatkan reputasi plaintif sebagai seorang yang berpengaruh di negara ini.

“Oleh itu mahkamah memutuskan plaintif (Zakir) tidak berhak mendapat sebarang ganti rugi, tetapi oleh kerana kenyataan berkenaan adalah fitnah, mahkamah mengarahkan defendan (Charles) memohon maaf secara terbuka atas kenyataan yang mengaitkan plaintif dengan penahanan dua ahli DAP,” katanya.

Selesai membaca penghakimannya itu, hakim kemudian memanggil Zakir dan Charles untuk tampil ke hadapan dan mengarahkan Charles meminta maaf secara terbuka kepada Zakir.

Selepas Charles membuat permohonan maaf, Akhtar kemudian bertanya kepada Zakir sama ada beliau menerima permohonan maaf berkenaan, yang kemudian dijawab, “Ya”.

Terdahulu, Akhtar berkata, kenyataan fitnah itu diterbitkan dalam portal Free Malaysia Today (FMT) di bawah tajuk ‘Critcism of Zakir Naik may have led to LTTE arrest says MP’, dipetik daripada apa yang diperkatakan oleh defendan mengenai penahanan dua ahli DAP pada 10 Oktober 2020 menjelang belanjawan dibentangkan di Parlimen.

Beliau berkata, Charles mencadangkan penahanan itu mungkin sebagai tindak balas terhadap kritikan dan pelbagai laporan polis yang dibuat terhadap Zakir dan ia satu amaran kepada masyarakat India.

Katanya, selain daripada hanya menafikan membuat kenyataan itu, mahkamah menyatakan defendan gagal secara efektif dalam mencabar apa yang dinyatakan dalam artikel berkenaan.

Justeru, mahkamah membuat kesimpulan kenyataan itu sememangnya dibuat oleh defendan.

“Mahkamah selanjutnya mendapati, walaupun defendan menyatakan ia tidak ditujukan kepada plaintif, kenyataan berkenaan adalah serampang dua mata, iaitu satu ditujukan kepada polis dan kerajaan dan satu lagi ditujukan kepada plaintif.

“Implikasi daripada kenyataan terhadap plaintif itu ialah plaintif mempunyai pengaruh terhadap polis dan kerajaan dalam penahanan dua ahli DAP berkenaan.

“Walaupun kenyataan itu ungkapan pendapat defendan, ia bersifat spekulatif dan belum disahkan serta tiada sebarang keterangan oleh defendan yang membuktikan kesahihannya.

Berikutan itu, mahkamah memutuskan kenyataan ini memfitnah plaintif,” katanya.

Hakim bagaimanapun mendapati kenyataan Charles melalui kenyataan akhbar bertajuk ‘Wednesday Cabinet meeting Must Discuss Zakir Naik’s meddling into Politics’, pada 13 Ogos 2019, tidak memfitnah Zakir.

Loading...
Terkini