comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Mesin Tapis Air Di Rumah Bonda Tidak Rosak

Siti Bainun Abd Razali hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR: Mesin penapis air di rumah pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Abd Razali, tidak mengalami kerosakan.

Ia berdasarkan dokumen yang diterima daripada syarikat penapis air berkenaan.

Ia disahkan Pegawai Penyiasat Kanan di Mahkamah Sesyen, hari ini ketika sesi pemeriksaan semula dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad.

Saksi pendakwaan ke-20 itu, Asisten Superintendan Rohaini Baharom daripada Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur berkata demikian berdasarkan dokumen yang diperoleh yang diterima melalui emel seorang ketua eksekutif sumber manusia syarikat penapis air itu, pada 11 November 2021.

Nor Azizah: Boleh jelaskan kepada mahkamah apa dokumen kamu terima?

Rohaini: Dokumen-dokumen yang diterima daripada pihak syarikat penapis air adalah pengesahan pelanggan dan juga rekod-rekod penyelenggaraan di atas nama Siti Bainun.

Nor Azizah: Apa tindakan selepas menerima dokumen?

Rohaini: Saya buat siasatan lanjut daripada dokumen yang diterima dari syarikat penapis air itu dan mendapati rekod penyelenggaraan bagi tahun 2021 tidak menunjukkan sebarang kerosakan pada mesin penapis air yang didaftarkan atas nama Siti Bainun di kondominium di Wangsa Maju.

Sementara itu, kepada soalan peguam, Nurul Hafidzah Hassan yang mewakili Siti Bainun mengenai dokumen penyelenggaraan mesin penapis air itu bukan tandatangan milik Siti Bainun, saksi itu menjawab tidak setuju.

Namun, saksi juga tidak pasti bahawa tandatangan huruf ‘M’ itu adalah tandatangan Siti Bainun.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung petang ini.

Dalam prosiding sebelum ini, saksi pendakwaan kelima, Yasmin Nahar Mahmood, 19, memberitahu mahkamah bahawa Siti Bainun menyuruhnya menyimbah air panas yang diambilnya daripada mesin penapis air ke atas Bella sebanyak tiga kali seminggu menggunakan cawan plastik yang tidak bertangkai berwarna kuning dan picagari.

Bagaimanapun, pada prosiding selepas itu, Yasmin mengakui bahawa kecederaan melecur dialami Bella adalah disebabkan tumpahan air termos dan bukannya daripada mesin penapis air.

Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini, antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini