comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Padah buat ‘wheelie’, lelaki hilang kelayakan ambil lesen memandu 5 tahun

Foto hiasan

MELAKA: Seorang pekerja kilang hari ini dikenakan bon berkelakuan baik selama setahun oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas kesalahan melakukan aksi ‘wheelie’ ketika menunggang motosikal, dua tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Majistret Nurul Asyikin Rosli selepas tertuduh, Muhammad Na’im Murad, 22, menukar pengakuan kepada bersalah terhadap pertuduhan pada sebutan kes itu, hari ini.

Nurul Asyikin ketika menjatuhkan hukum berkata, mahkamah menimbangkan semua fakta kes, rayuan dan laporan sosial tertuduh dikemukakan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat serta hujah pendakwaan bagi pemberatan hukuman.

“Tertuduh dikenakan bon berkelakuan baik selama setahun bercagar RM2,500 dengan seorang penjamin mengikut Seksyen 294 Kanun Prosedur Jenayah.

“Disebabkan tiada lesen memandu, tertuduh juga digantung daripada mengambil lesen B2 bermula dari tarikh sabitan hari ini selama lima tahun,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Na’im didakwa menunggang motosikal dengan keadaan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain di Persiaran Pekan Tanjung 2, Tanjung Kling, di sini, pada 13 November 2021, jam 1.03 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda minimum RM5,000 serta tidak lebih RM15,000.

Berdasarkan fakta, sepasukan polis menahan tertuduh menerusi Op Samseng Jalanan selepas didapati menunggang motosikal Honda EX-5 dengan mengangkat tayar hadapan secara berbahaya kepada pengguna jalan raya lain sepanjang 50 meter di persisir pantai menghala ke Tanjung Kling.

Tertuduh yang dicamkan memakai baju lengan pendek putih, berseluar pendek warna coklat dan memakai topi keledar warna biru kemudiannya ditahan berhampiran persisiran pekan Tanjung Kling 2.

Terdahulu sebelum dijatuhkan hukum, tertuduh merayu denda paling ringan kerana bapanya sudah meninggal dunia dan dia anak lelaki tunggal yang menanggung keluarga.

“Saya sudah insaf dan berjanji tidak ulangi kesalahan ini yang juga kesalahan jenayah pertama saya,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh kerana perbuatannya bukan saja membahayakan diri sendiri malah pengguna jalan raya lain.

Loading...
Terkini