comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Wanita dipenjara 8 bulan pecah masuk dan curi tabung dua surau

Tertuduh, Nur Hidayah hari ini dijatuhi hukuman lapan bulan penjara kerana memecah masuk dan mencuri tabung dua surau dalam tempoh dua hari bulan lalu. – FOTO: NSTP

AYER KEROH: Seorang wanita dijatuhi hukuman lapan bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini atas dua kesalahan memecah masuk dan mencuri tabung dua surau dalam tempoh dua hari, bulan lalu.

Tertuduh, Nur Hidayah Abdullah, 25, dijatuhi hukuman itu selepas dia mengaku salah terhadap dua pertuduhan itu yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Majistret Nabilah Nizam dalam penghakimannya memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 30 April lalu.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan kesalahan pecah masuk ke atas Surau Ar Rahmah, Jalan Limbongan, dekat sini dan mencuri wang tunai berjumlah RM700 milik surau berkenaan pada 23 April lalu, kira-kira jam 9 malam.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Tertuduh juga didapati melakukan kesalahan mencuri duit tabung milik Surau Selekoh, Jalan Padang Temu, Kampung Padang Temu, dekat sini, pada 24 April lalu, kira-kira jam 2 petang yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Dalam rayuannya tertuduh memohon hukuman penjara yang singkat dan berjalan serentak bagi kedua-dua pertuduhan dari tarikh ditangkap atas alasan mempunyai anak yang berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh yang mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan curi dan pernah dipenjarakan selama enam bulan tahun lalu.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman lapan bulan penjara bagi setiap pertuduhan dan berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap.

Sementara itu, tertuduh juga mengaku salah atas pertuduhan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu memberikan kepada diri sendiri dadah jenis methamphetamine pada 24 April lalu, kira-kira jam 9 malam.

Kes ditetapkan untuk sebutan laporan patalogi pada 24 Jun depan dan tertuduh dibenarkan ikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini