comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Padah cabul, pemandu e-hailing didenda RM3,500

Muhammad Syahmi Iman Muhazam didenda RM3,500 kerana mencabul penumpang wanita di dalam kereta. – FOTO: NSTP

MELAKA: Pemandu perkhidmatan e-hailing didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas kesalahan mencabul penumpang wanita awal bulan ini.

Hukuman diputuskan Majistret Nabilah Nizam selepas menerima pengakuan salah tertuduh, Muhammad Syahmi Iman Muhazam, 20, dan mensabitkannya seperti pertuduhan.

Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Syahmi didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang gadis berusia 22 tahun dengan cara menarik paha sehingga menyentuh payu dara dengan niat hendak mencabul kehormatannya.

Kesalahan itu dilakukan semasa berada di atas jalan hadapan balai bomba di Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Taman Cheng Perdana 5 Februari lalu, jam 10.21 pagi.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, memperuntuk hukuman penjara boleh sampai 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri dalam hujahnya memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Peguam Mohd Hasryzal Badasary bagaimanapun merayu hukuman ringan atas alasan itu kesalahan pertama anak guamnya yang masih bujang dan sudah insaf.

Selepas menimbangkan hujah kedua-dua pihak, Nabilah mengenakan hukuman denda RM3,500 terhadap tertuduh atau enam bulan penjara jika gagal bayar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini