comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pegawai, anggota ATM didakwa sorok bukti kemalangan

 

TAWAU: Pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan menyembunyikan bukti bagi melindungi barang kes kemalangan maut, Januari tahun lalu.

Tertuduh, Leftenan Kolonel Werar Suleiman Ali, 55, dan Koperal Muhammad Hafizuddin Ripin, 29, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama dengan niat menyembunyikan bukti-bukti bagi melindungi barang kes atau bahan bukti kemalangan iaitu sebuah motosikal yang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah stesen minyak berhampiran Batu 3 Jalan Apas, dekat sini, kira-kira 6 petang, pada 30 Januari 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan boleh juga dikenakan hukuman denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hurman Hussain bersama Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Joan Lee, manakala kedua-dua tertuduh masing-masing diwakili peguam Abdul Ghani Zelika dan Vivian Thien.

Hurman mencadangkan wang jaminan sebanyak RM5,000 dengan penjamin tempatan yang mempunyai alamat tetap di daerah ini.

Bagaimanapun, kedua-dua peguam memohon ikat jamin lebih rendah kerana anak guam mereka adalah penjawat awam dan tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri.

Selain itu, mereka bersedia memberi kerjasama untuk hadir pada tarikh perbicaraan yang akan ditetapkan oleh mahkamah.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan dengan dua penjamin tempatan dan menetapkan 31 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kedua-dua tertuduh membayar wang jaminan berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini