comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pegawai kimia dedah air kencing Yasin positif kanabis 

 

PETALING JAYA : Mahkamah Sesyen dimaklumkan sample air kencing penyanyi dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman didapati mengandungi kanabis.

Ujar pegawai kimia, Rusli Ibrahim, 56, pada sesi perbicaraan penyanyi itu turut mendedahkan hasil ujian saringan terhadap sample mendapati ia  positif `cannabinoid’.

Manakala hasil ujian akhir mendapati sampel berkenaan mengandungi ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ iaitu dadah tersenarai dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Rusli yang juga  Pegawai Sains yang bertugas di Makmal Dadah, Jabatan Patologi, Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang mengemukakan hasil ujian dalam laporan atas nama tertuduh dan mengesahkannya pada 8 April 2022.

Laporan kemudiannya diserahkan kepada Penolong Pegawai Penyiasat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Sarjan Mohd. Fikri Omar pada 11 April 2022.

Rusli adalah saksi pendakwaan kelima (SP5) bagi memberi keterangan pada perbicaraan Muhammad Yasin, 48, yang menghadapi tiga pertuduhan dadah.

Pada sesi pernyataan saksi juga, memaklumkan satu borang permohonan ujian pengesanan air kencing dan satu botol sampel air kencing kepunyaan tertuduh diterima pada 30 Mac 2022.

Maklumat pada borang permintaan dan nombor siri botol masih dalam keadaan baik, isipadu air kencing mencukupi untuk dianalisis, botol tidak bocor serta berada dalam keadaan sempurna,” kata saksi.

Ujarnya, botol sampel air kencing itu kemudian disimpan dalam peti sejuk pada suhu khas dua hingga 8 darjah Celcius yang mana hanya beliau dan Juruteknologi Makmal Perubatan, Abdul Majid Khan Suliaman mempunyai kawalan.

Tiada sesi soal balas daripada peguam, Ariff Azami Hussein di hadapan hakim Faiz Dziyauddin.

Mengikut pertuduhan pertama, Muhammad Yasin didakwa memiliki dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondomonium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara, 5.30 petang pada 24 Mac 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, Muhammad Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama yang mana pertuduhan itu mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan Yasin boleh berdepan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali.

Bagi pertuduhan ketiga, Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama.

Tertuduh turut berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama.

Loading...
Terkini