comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Yasin diperintah untuk dirujuk ke Tanjung Rambutan

 

FOTO : NSTP


PETALING JAYA: Hakim Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan penyanyi nasyid dan komposer, Yasin Sulaiman dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Nik Nasimah Nik Mohammad mengeluarkan perintah itu untuk Yasin diperiksa tahap kesihatan mentalnya mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.

Dalam prosiding sebutan kes hari ini, peguam belanya, Ariff Azami Hussein memaklumkan kepada mahkamah, terdapat asas yang kuat untuk kesihatan mental penyanyi berusia 48 tahun itu diperiksa oleh pakar psikiatrik.

Katanya, pemerhatian perlu dibuat untuk memastikan sama ada Yasin layak untuk dibicarakan atau tidak.

“Pembelaan mengemukakan lima laporan perubatan antaranya mengesahkan sejarah kesihatan mental Yasin yang menghidap penyakit Kecelaruan Bipolar Tahap I sejak 2007.

“Laporan Pusat Pakar Universiti Malaya (USMC) menunjukkan anak guam saya pernah diserang ‘simptom manic’ yang boleh membahayakan dirinya.

“Laporan terkini juga mengesahkan keadaan mental dan kesihatan Yasin semakin merosot sehingga boleh membahayakan nyawanya,” katanya.

Selain Ariff Azami, Yasin atau nama sebenar Muhammad Yasin Sulaiman, 47, turut diwakili peguam, Nur’ain Shahiera Khalid.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini memberitahu mahkamah, pendakwaan tidak membantah permohonan pembelaan itu dan menyerahkannya kepada budi bicara mahkamah.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 22 Jun ini untuk mengemukakan laporan psikiatrik.

Loading...
Terkini