comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pegawai MBSA didakwa terima sogokan Vellfire

Foto hiasan

SHAH ALAM: Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dakwaan menerima sebuah kenderaan mewah enam tahun lalu.

Tertuduh, Feroz Hanif Mohamed Ahmad, 47, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca terhadapnya di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut kertas pertuduhan, Feroz Hanif sebagai seorang penjawat awam didakwa menerima Toyota Vellfire 2.5 bernilai RM325,000 daripada pengurus sebuah syarikat yang diketahui ada kaitan dengan tugas rasminya sebagai Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kejuruteraan MBSA.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pusat jualan kenderaan di Kampung Kayu Ara Damansara Utama dekat sini, pada 14 April 2017.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Fadhly Mohd Zamry menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin warga tempatan serta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di Pejabat SPRM berdekatan setiap awal bulan.

Peguam Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan memohon mahkamah memberikan jaminan yang rendah dengan alasan tertuduh memberi kerjasama baik kepada SPRM selepas ditahan pada September 2022.

Katanya, Feroz Hanif yang kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) juga mengalami kekangan masa untuk menyediakan wang jaminan yang tinggi.

Jelasnya, tertuduh juga tidak pernah gagal melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM sejak ditahan dan tiada risiko melarikan diri justeru beliau memohon jaminan RM5,000.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan 24 Mac ini.

Loading...
Terkini