comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pelajar universiti antara empat didakwa amang seksual, rogol remaja

FOTO: NSTP

IPOH: Empat lelaki termasuk seorang pelajar universiti dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja perempuan, November tahun lalu.

Tiga daripada mereka yang dituduh merogol iaitu Norarisman Salleh, 27, Muhammad Fariq Fadzilan, 30, dan Muhamad Ikqwanniezam Abdullah, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

Pelajar universiti, Muhammad Alif Muhammad Zamhari, 23, juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal.

Mengikut pertuduhan, Norarisman, Muhammad Fariq dan Muhamad Ikqwanniezam didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di sebuah bilik sewa di Jalan Besar Kampung Baru Mambang Di Awan, dalam daerah Kampar antara jam 3.30 petang hingga 10.30 malam, awal November tahun lalu.

Pertuduhan terhadap tiga lelaki yang masing-masing pekerja kilang, penganggur dan pengawal keselamatan itu dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Berdasarkan pertuduhan ke atas Muhammad Alif pula, pelajar universiti tempatan itu bersama Norarisman didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja perempuan berusia 14 dan 15 tahun, dengan kedua-dua mereka didakwa melakukan perbuatan itu di lokasi, masa dan tarikh yang sama sebagaimana kejadian rogol.

Bagi kesalahan itu, Muhammad Alif dan Norarisman didakwa mengikut Seksyen 14 (c) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu’aini Khalifah dengan beliau tidak menawarkan jaminan terhadap kesemua tertuduh yang diwakili peguam masing-masing.

Semua tertuduh yang diwakili peguam bagaimanapun memohon agar jaminan diberikan dengan jumlah minimum.

Norarisman diwakili peguam, V Santhiran manakala Muhammad Alif diwakili Syahrul Nizam Mohd Rabi, Muhammad Fariq (Syamil Haidhar Abdul Jalil Alwi) dan Muhamad Ikqwanniezam (Manal Hayati Mohd Ariff).

Mahkamah kemudiannya membenarkan semua tertuduh diikat jamin RM5,000 seorang dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan pengadu sehingga kes selesai.

Norita menetapkan 8 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula untuk serahan dokumen kes membabitkan Norarisman, Muhammad Fariq dan Muhamad Ikqwanniezam manakala tarikh 10 Mei bagi kes Muhammad Alif..

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini