comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] 4 anggota polis didakwa terima rasuah lepas tahanan

 

SEREMBAN: Empat anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah bagi tujuan melepaskan tahanan, Ogos lalu.

Bagaimanapun, Tertuduh Lans Koperal Mohamad Ikhwan Shafiq Mohammad, 27, Koperal Muhammad Syahar Sansudin@ Samsudin, 34, Lans Koperal Muhammad Adib Hanizin, 27 dan Koperal Muhammad Ruzaini Firdaus Ismail, 34, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh dengan niat bersama meminta suapan wang tunai berjumlah RM3,000 dan menerima RM800 daripada seorang wanita berusia 37 tahun sebagai dorongan untuk melepaskan dua anak lelakinya daripada tahanan polis selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu.

Kesalahan itu dilakukan pada 24 Ogos lalu kira-kira jam 12 tengah malam dan 3 pagi di Balai Polis Gemencheh, Tampin.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Melaka sekali setiap bulan sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes 12 Disember ini.

Loading...
Terkini