comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Penganggur mengaku bersalah beri rasuah RM126,500 kepada pegawai TNB

Foto hiasan

IPOH: Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini, atas pertuduhan memberi rasuah sebanyak RM126,500 kepada pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Tertuduh, Ding Ai Sing, 51, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim, Ahmad Kamar Jamaludin.

Mengikut pertuduhan, Ai Sing didakwa memberi suapan wang tunai RM126,500 kepada pegawai TNB melalui seorang lelaki sebagai dorongan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas pengusaha premis yang disyaki mencuri elektrik di sekitar Lembah Klang.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dalam bilik 923, M Roof Hotel & Residence, beralamat di Pusat Perniagaan Taman Ipoh, Jalan Dato’ Lau Pak Kuan, pada jam 10.45 pagi, 28 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda suapan atau RM10,000, tertakluk mana yang lebih tinggi.

Tertuduh turut didakwa mengikut pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 34 kanun sama.

Susulan pengakuan itu, hakim menjatuhkan hukuman denda RM200,000 atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda.

Selain itu, empat telefon bimbit IPhone 12 Pro Max dan wang tunai sebanyak RM1.49 juta dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Sebanyak 514 set mesin melombong bitcoin turut dilucut hak kepada kerajaan Malaysia untuk tujuan pelupusan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Nur Ashiqeen Mohd Sultan.

Difahamkan, Ai Sing membayar denda RM200,000 berkenaan.

Loading...
Terkini