comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pengurus besar didenda RM15,000 kerana terima rasuah

 

Foto: NSTP

TAWAU: Pengurus besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) didenda RM15,000 oleh Mahkamah Khas Rasuah, di sini, hari ini selepas mengaku salah atas pertuduhan menerima suapan berjumlah lebih RM8,000, lima tahun lalu.

Hukuman itu diputuskan Hakim Jason Juga selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh Ahmad Rudi Abd Rashid, 50, sejurus pertuduhan alternatif dibacakan.

Kesalahan terbabit didakwa mengikut Seksyen 26 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Mengikut pertuduhan alternatif, tertuduh didakwa menerima wang tunai RM8,110 daripada pemilik syarikat Pemborong Putramas Mohamad Sadeed Mohamad Said yang menyalahi Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Perbuatan itu dilakukan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bubul Ria, Semporna pada 5.30 petang 26 Februari 2019.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa Seksyen 26 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa meluluskan Baucer Bayaran bernombor BB021900065 berjumlah RM8,110 kepada syarikat milik Mohamad Sadeed untuk bayaran penyediaan keperluan sempena Lawatan Mesyuarat LPP/MOA/JPA pada 28 hingga 31 Oktober 2018 sedangkan kerja-kerja berkenaan dilakukan tertuduh sendiri.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Norsham Saharom, manakala tertuduh diwakili peguam Dominic Chew Ban Huat.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Tertuduh menjelaskan denda berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini