comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Peniaga ketam tak mengaku salah hina Raja Perlis

KANGAR: Seorang peniaga ketam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas kesalahan menghantar perkhidmatan komunikasi jelik mengenai Raja Perlis di laman Facebook pada Mac lalu.

Tertuduh, Hasbullah Mohammad, 41 dari Changlun, Kedah hanya mengangguk faham dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Musyiri Peet.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Hasbullah didapati melalui perkhidmatan aplikasi Facebook dengan menggunakan nama profil “Muhammad Muhammad (ku tehh ku muhamnad)” secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik sifatnya terhadap Raja Perlis dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Tertuduh didapati melakukan perbuatan itu pada 6 Mac lalu sekitar jam 3.26 pagi dan hanya disedari pengadu yang juga pelayar Facebook pada 7 pagi hari yang sama.

Justeru, tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan boleh juga didenda selanjutnya sebanyak RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan dijalankan Pengarah Pendakwaan Negeri Perlis, Muhamad Asyraf Md Kamal dan Timbalan Pendakwa Raya, Alia Suzila Chek Pi manakala tertuduh diwakili peguam Syazwan Shaidan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Muhamad Asyraf dalam hujahannya meminta mahkamah untuk tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh memandangkan ia adalah kesalahan serius membabitkan isu agama, bangsa dan institusi diraja (3R) .

Selain itu, kesalahan berkenaan juga membabitkan denda sehingga RM50,000 serta penjara setahun selain segala laporan siasatan polis dan forensik serta analisa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjurus kepada tertuduh.

Mahkamah menetapkan 15 Mei hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini