comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Perdaya pegawai PERKESO, pengarah syarikat didenda RM10,000

Tertuduh Seorang pengarah syarikat, Wan Ahmad Hasbullah Wan Mahamud Shudi (tengah), 40, didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen, Shah Alam selepas mengaku bersalah memperdayakan pegawai Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berhubung insentif pengambilan kerja di bawah Program Penjana Kerjaya pada 2020.

SHAH ALAM: Seorang pengarah syarikat dikenakan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah memperdayakan pegawai Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berhubung insentif pengambilan kerja di bawah Program Penjana Kerjaya pada 2020.

Tertuduh Wan Ahmad Hasbullah Wan Mahamud Shudi,40 membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Tertuduh juga diarahkan untuk menjalani hukuman penjara empat bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Awang Kerisnada dalam penghakimannya menasihatkan tertuduh agar jujur dan tidak mengambil kesempatan dalam apa-apa keadaan sekalipun selain turut mengingatkan bahawa menipu adalah perbuatan keji.

“Saya harap awak insaf, punca rezeki banyak. Lebih baik awak menyesal di depan saya di dunia daripada di akhirat” katanya.

Mengikut kertas pertuduhan, Wan Ahmad Hasbullah didakwa memperdayakan seorang Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan, PERKESO sehingga mendorong pegawai itu untuk menyerahkan wang berjumlah RM2,400 dengan mempercayai bahawa seorang wanita dalam senarai pekerja di Data Penjana 1.0 yang mana tertuduh ketahui tidak lagi bekerja di syarikat miliknya.

Justeru tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah cawangan bank di Cyberjaya, pada 2 Disember 2020.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muaz Ahmad Khairuddin manakala tertuduh diwakili peguam M Hafiz Zainol Abidin.

Sementara itu, menurut fakta kes, Wan Ahmad Hasbullah mendaftarkan seramai 111 orang pekerja dan gaji yang ditetapkan adalah antara RM1,200 hingga RM3,000 pada 2 Disember 2020.

Antara penama yang didaftarkan di dalam Sistem Penjana Kerjaya bagi tujuan tuntutan adalah seorang wanita yang tidak lagi bekerja di syarikatnya berjumlah RM2,400.

PERKESO kemudian telah meluluskan dalam Sistem Penjana Kerjaya bagi syarikat tertuduh dengan jumlah bayaran RM371,600 bagi 111 orang pekerja termasuk wang berjumlah RM2,400 bagi tujuan pembayaran gaji wanita itu selama tiga bulan.

Wanita berkenaan kemudian mengesahkan beliau pernah bekerja sebagai perkhidmaran ‘rider’ selama satu minggu di syarikat itu dan berhenti pada pertengahan tahun 2020.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini