comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Petisyen pilihan raya Masjid Tanah, Kemaman diperintah dibicara penuh 

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengarahkan dua petisyen pilihan raya yang difailkan untuk mencabar keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) bagi Parlimen Masjid Tanah dan Kemaman dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.

Keputusan dibuat panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang membenarkan rayuan dikemukakan calon Barisan Nasional (BN) dan pengundi kawasan Parlimen Kemaman supaya mahkamah mendengar perbicaraan penuh petisyen berkenaan.

Petisyen itu difailkan calon BN bagi Parlimen Masjid Tanah Abdul Hakim Abdul Wahid dan pengundi Parlimen Kemaman, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil,  dibatalkan oleh Mahkamah Pilihan Raya Melaka dan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 7 dan 12 Februari lalu setelah mahkamah menerima bantahan awal responden dalam kedua-dua kes itu.

Abdul Hakim merayu terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya itu yang membatalkan petisyen pilihan rayanya untuk membatalkan kemenangan Ketua Bersatu Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin pada PRU-15 bagi kawasan Parlimen Masjid Tanah.

Sementara itu, Wan Mohamad Hisham merayu terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan petisyen pilihan rayanya untuk membatalkan keputusan pilihan raya bagi kawasan Parlimen Kemaman yang dimenangi oleh Che Alias Hamid daripada Pas.

Dalam keputusannya, Tun Tengku Maimun berkata, pliding dalam petisyen pilihan raya bagi kedua-dua kes adalah mencukupi dan memerintahkan kes berkenaan dihantar semula untuk pendengaran penuh berhubung merit di hadapan hakim Mahkamah Pilihan Raya yang berbeza.

Mahkamah menetapkan 5 Mei untuk sebutan bagi petisyen pilihan raya Abdul Hakim di Mahkamah Pilihan Raya di Melaka dan 8 Mei untuk sebutan petisyen pilihan raya Wan Mohamad Hisham di Mahkamah Pilihan Raya di Terengganu.

Pada 3 Januari lalu, Abdul Hakim memfailkan petisyen pilihan raya, mendakwa rasuah, dalam bentuk wang dan jamuan, digunakan untuk memikat pengundi pada PRU-15.

Mas Ermieyati, yang bertanding di bawah tiket PN-Bersatu memenangi kerusi itu, dengan majoriti 4,411 undi, dalam pertembungan empat penjuru menentang Abdul Hakim, Mutalib Uthman (MUDA) dan Handrawirawan Abu Bakar (GTA-Pejuang).

Sementara itu, Wan Mohamad Hisham memfailkan petisyen pilihan raya untuk mencabar keputusan pilihan raya bagi kawasan Parlimen Kemaman di Terengganu.

Che Alias dari Pas menang kerusi itu dengan 65,714 undi mengalahkan calon BN Datuk Seri Ahmad Said, calon PKR’s Hasuni Sudin (PKR) dan Pejuang’s Rosli Ab Ghani (Pejuang).

Loading...
Terkini