comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pukul bapa guna kayu, anak dipenjara 6 tahun

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Seorang lelaki yang tergamak memukul bapanya berusia 71 tahun menggunakan sebatang kayu menerima padah apabila dipenjara enam tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Mohd. Sabri Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Yaumiheris Nordin, 42, yang mengaku salah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja mencederakan bapa kandungnya, Nordin Dengker, 71, dengan memukul bahagian muka dan badan mangsa menggunakan sebatang kayu.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan Paya Keladi, Kampung Bukit Darat, Melaka pada jam 7 malam, 26 Januari lalu.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu mengikut Seksyen 324 dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukumannya diringankan dan dilaksanakan dari tarikh ditangkap pada 27 Januari lalu.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari bagaimanapun memohon hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius dan mangsa merupakan bapa kandungnya sendiri.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua belah pihak, Hakim Mohd. Sabri kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan.

Dalam prosiding berasingan, tertuduh juga mengaku bersalah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman atas pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut bapanya dengan mengacukan parang.

Bagi kesalahan itu dia dijatuhi hukuman penjara empat bulan dari tarikh ditangkap.

Loading...
Terkini