comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Rayuan hukuman penjara Wan Ji 7 April

Penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin. – FOTO : Fail NSTP

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan ke 7 April ini, bagi mendengar rayuan hukuman penjara setahun terhadap penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin, atas kesalahan menerbitkan perkataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor.

Peguam bela Wan Ji, Sangeet Kaur Deo, ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.

“Penangguhan itu akan memberi masa kepada saya untuk lebih bersedia dalam rayuan berkenaan selepas mengambil alih daripada peguam, Ramkarpal Singh,” katanya.

Difahamkan, pendengaran itu untuk pembelaan berhujah mengenai usul yang merujuk isu perlembagaan iaitu sama ada Akta Hasutan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pada 12 Julai 2019, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan penangguhan hukuman itu yang sepatutnya bermula 9 Julai tahun sama hingga proses rayuan di Mahkamah Rayuan selesai.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman, membuat keputusan itu selepas mempertimbangkan beberapa alasan yang dikemukakan peguam mewakili Wan Ji, Mohd Radzlan Jalaludin dan Ariff Azami Hussein.

Dalam prosiding itu, Abdul Halim menetapkan syarat tambahan kepada Wan Ji iaitu perlu mendapatkan kebenaran mahkamah untuk ke luar negara, selain meneruskan syarat Mahkamah Sesyen sebelum ini, iaitu membayar wang jaminan RM5,000 dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Pada 10 September 2014, Wan Ji didakwa kerana menerbitkan perkataan yang menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah, termasuk membabitkan isu agama dalam Facebook dengan nama wanji.attaaduddi.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5, Shah Alam, pada 10 pagi, 5 November 2012.Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 iaitu denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

Untuk kesalahan kedua dan seterusnya, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun.

Loading...
Terkini