comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Rogol budak sehingga lahirkan bayi, pekerja pembersihan dipenjara 8 tahun, 4 sebatan

Muhammad dihukum penjara lapan tahun dan empat sebatan selepas mengaku bersalah merogol kanak-kanak. – FOTO Abdul Rahemang Taiming

TAWAU: Seorang pekerja pembersihan terpaksa meringkuk dalam penjara lapan tahun dan kena empat sebatan  kerana merogol kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun sehingga melahirkan bayi lelaki.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Rosli Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Ali, 47, selepas dia mengaku bersalah mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Ali yang juga pemegang pasport warga Indonesia didakwa merogol mangsa berusia 13 tahun di sebuah rumah pekerja ladang kelapa sawit di Semporna, jam 4 petang, 2 April tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhaimi Suriana manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohd Suhaimi dalam hujahnya memohon hukuman berat ke atas tertuduh mengambil kira faktor kepentingan awam selain kesan trauma dialami mangsa .

Katanya, mangsa dalam kes ini yang masih bersekolah sepatutnya menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak perempuan lain namun terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ibu dalam usia  sangat muda.

“Laporan daripada Jabatan Kimia juga mengesahkan tertuduh adalah bapa kandung bayi terbabit.

“Pendakwaan juga mengambil kira faktor tertuduh dalam kes ini adalah warga asing yang masuk ke negara ini sewajarnya dijatuhi hukuman berat selain perlu diusir pulang ke negara asal,” tegasnya.

Hakim kemudiannya memerintahkan tertuduh dipenjara selama lapan tahun dan empat sebatan bermula dari tarikh tangkapan selain diusir pulang ke negara asal sebaik selesai menjalani hukuman.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh disyaki merogol mangsa yang  sedang tidur bersendirian di rumahnya kira-kira jam 4 petang  2 April tahun lalu.

Tertuduh bagaimanapun ditangkap 21 November lalu selepas mangsa mengadu sakit perut sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Tawau.

Hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengandung 38 minggu dan selamat melahirkan bayi lelaki sebelum mendedahkan dia telah dirogol tertuduh.

Loading...
Terkini