comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Saksi sebak ketika beri penjelasan teks perbualan WhatsApp dengan Ebit Lew

TENOM: Seorang wanita hari ini memberitahu Mahkamah Majistret di sini bahawa dia menolak untuk menerima panggilan video daripada Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew sebaliknya hanya membenarkan panggilan biasa sahaja.

Wanita berusia 40-an itu berkata demikian selaku saksi kesembilan pendakwaan yang juga pengadu kes, pada perbicaraan kes gangguan seksual pendakwah itu di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad dalam pemeriksaan utama sebelum itu bertanya maksud teks perbualan dalam tangkap layar aplikasi WhatsApp antara saksi dan tertuduh iaitu “panggilan biasa boleh, panggilan video tidak boleh”.

“Maksud saya nak panggilan biasa, bukan panggilan video…saya tidak mahu (panggilan video),” katanya ketika memberi penjelasan maksud teks itu.

Saksi itu berkata ada ketika Lew membuat panggilan video kepadanya tetapi beliau tidak mahu memperlihatkan wajahnya kerana berada dalam keadaan tidak bertudung.

Semasa memberi penjelasan beberapa teks perbualan dalam aplikasi WhatsApp itu, wanita itu tidak dapat menahan sebak sehingga Nor Azizah meminta mahkamah berehat seketika untuk menenangkan saksi.

Saksi itu membuat penjelasan lebih 200 teks daripada 436 tangkap layar perbualan dalam aplikasi WhatsApp yang telah dikeluarkan daripada telefon bimbit saksi membabitkan kes itu.

Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan disambung esok. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini