comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Suami isteri didakwa aniaya, abai anak hingga sebabkan kematian

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pasangan suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menganiaya dan mengabaikan anak perempuan kandung mereka sehingga menyebabkan kematian, Disember lalu.

Suri rumah, Fatin Afrina Abdullah, 26, dan pemandu e-hailing, Muhamad Fuad Jamaluddin, 29, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Azrol Abdullah.

Dalam prosiding hari ini, Fatin Afrina turut membawa anak perempuannya berusia lima bulan ke mahkamah selepas bersalin dalam penjara.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka sebagai ibu bapa kepada kanak-kanak perempuan bernama Eriqa Sophia Muhamad Fuad yang berusia enam tahun semasa kejadian telah menganiaya dan mengabaikan mangsa sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah flat di Taman Mulia, Cheras, di sini antara April hingga 1 Disember 2023.

Oleh itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.Timbalan Pendakwa Raya Siti Nursyuhada Abd Rauf menawarkan jaminan masing-masing RM50,000 dengan seorang penjamin.

Peguam, Tamara Anthony yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan dikurangkan selepas Mahkamah Majistret di sini hari ini sudah melepas dan membebaskan (DNAA) anak guamnya atas tuduhan membunuh anak perempuan mereka.

“Kedua-dua anak guam sudah direman sejak Disember tahun lalu, dua lagi anak yang masih kecil dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Tertuduh pertama (Fatin Afrina) bersalin dalam penjara dan mohon mahkamah mengambil kira kes sama seperti di Petaling Jaya iaitu Zayn Rayyan apabila ibu bapa mereka diberi jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin,” katanya.

Azrol kemudian bertanyakan di mana mangsa berada ketika ini dan Siti Nursyuhada mengesahkan kanak-kanak perempuan itu sudah meninggal dunia pada 2 Disember lalu.

Mendengar hujah kedua-dua pihak, Azrol kemudian membenarkan ikat jamin masing-masing RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 15 Ogos ini.

Sebelum ini, polis menahan ibu bapa kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang meninggal dunia di Hospital Tunku Azizah dipercayai akibat didera dan diabaikan.

Mangsa berusia enam tahun dilaporkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tunku Azizah, di sini dipercayai akibat didera dan diabaikan oleh penjaganya di sebuah flat perumahan di Bandar Tun Razak.

Hasil bedah siasat mendapati kanak-kanak itu menghadapi beberapa masalah kesihatan berikutan dilahirkan pramatang, dan meninggal dunia disebabkan kekurangan nutrisi (malnourished).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini