comscore
Tumpuan :
Nasional

Peniaga terima urus beli ‘plastik hitam’ dalam talian, kena kompaun

Ketua Bahagian Penguatkuasa MPKB-BRI, Mohd Halimie Mat Salleh, menunjukkan plastik hitam yang mengandungi empat bungkusan minuman yang dipesan pelanggan menerusi aplikasi khidmat penghantaran makanan. – Foto: NSTP

KOTA BHARU: Bukan lagi perlambangan kepada golongan ponteng puasa, namun plastik bungkusan bewarna hitam memang digunakan bagi membungkus makanan kepada golongan itu.

Operasi Bersepadu Ramadan sekitar daerah Kota Bharu pada Rabu lalu (20 Mac 2024) pada mulanya berjaya mengesan aktiviti urusan jual beli makanan dan minuman yang dilakukan sebelum jam 3 petang pada bulan puasa.

Seorang peniaga wanita berusia 50 tahun di Jalan Wakaf Stan, di sini memberi alasan tidak tahu mengenai had waktu operasi bagi pemilik premis beragama Islam untuk menjual makanan dan minuman pada Ramadan.

Empat bungkusan teh o ais yang dipesan pelanggan menerusi aplikasi khidmat penghantaran makanan sudah siap diletakkan dalam plastik hitam dan hanya menunggu kedatangan penghantar sahaja.

Aktiviti itu dilakukan sekitar jam 12.30 tengah hari.

“Saya buka kedai jam 10 pagi tadi dan terima pesanan menerusi aplikasi dalam talian. Kami sedang memasak makanan, hanya sempat menyiapkan bungkusan air” kata peniaga itu ketika disoal pegawai penguatkuasa.

Peniaga itu juga memberitahu pelanggan yang membuat tempahan adalah berbangsa Cina namun sebaik diperiksa ternyata individu itu adalah Melayu.

Pesanan berkenaan diarahkan batak serta-merta, manakala empat bungkusan minuman berkenaan dirampas.

Wanita terbabit dikenakan kompaun di bawah Undang-undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) 2019 atas kesalahan melanggar syarat lesen.

Operasi Bersepadu Ramadan hari ini membabitkan MPKB-BRI, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagi pendedahan penuh operasi dan pelbagai rangkuman kes sepanjang minggu, saksikan program 999 malam ini di TV3.

Program 999 bersiaran setiap Selasa, jam 9 malam dan strim sekarang melalui Tonton!

 

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini