comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[KEMAS KINI] Suami isteri mengaku tidak bersalah, dakwaan kes senjata api berkait warga Israel

KLANG: Seorang wanita yang disyaki membeli senjata api untuk dijual kepada seorang warga Israel, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol jenis LUGER.

Sementara itu, suaminya pula didakwa atas pertuduhan berada bersama-sama wanita terbabit, yang menimbulkan anggapan munasabah bahawa dia mengetahui isterinya memiliki pistol berkenaan.

Pasangan berkenaan, Abdul Azim Mohd Yasin, 43 dan isterinya Sharifah Faraha Syed Husin, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar.

Mengikut kertas pertuduhan Sharifah Faraha didakwa telah didapati dalam milikannya senjata api dengan menyalahi undang-undang iaitu sepucuk pistol jenama CZ 75 P-01 CAL.9 LUGER, NO.SIRI : A216210.

Dia didapati melakukan kesalahan itu di di alamat No. 183 Jalan Haji Omar Kampung Bukit Belimbing, dalam Daerah Kuala Selangor, Selangor pada jam 8 malam, 29 Mac lalu.

Sharifah Faraha didakwa mengikut Seskyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama, iaitu penjara maksimum 14 tahun.

Abdul Azim pula didakwa didapati ada bersama dengan Syarifah Faraha yang menimbulkan anggapan munasabah bahawa dia mengetahui bahawa isterinya memiliki senjata api yang menyalahi undang-undang, pada waktu dan lokasi sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 9 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Unit Jenayah Berat Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara,Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim dan Fazeedah Faik.

Dalam prosiding itu, pasangan terbabit tidak ditawarkan jaminan kerana kesalahan dibawah akta itu senjata api tidak boleh dijamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 Jun ini bagi tarikh sebutan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini