comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Tahanan Rumah: Mahkamah tolak permohonan afidavit Tengku Zafrul

Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz untuk memfailkan afidavit dalam kes yang dikemukakan Najib Razak berkait ‘perintah tambahan’ penahanan rumah yang didakwa dari Yang di-Pertuan Agong terdahulu.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Amarjeet Singh di dalam kamar.

Media sebelum ini melaporkan, Tengku Zafrul mahu memperbetulkan beberapa kesilapan fakta dalam afidavit Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi berhubung tahanan rumah Datuk Seri Najib.

Beliau berkata pendirian memfailkan afidavit itu yang dibuat selepas mendapat nasihat undang-undang bukan untuk mempertikaikan merit isu sedang berlangsung.

Dalam afidavit difailkan Datuk Seri Zahid di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April lalu, beliau mendakwa melihat perintah tambahan untuk Datuk Seri Najib menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.

Timbalan Perdana Menteri itu mendakwa beliau dimaklumkan perkara itu oleh Tengku Zafrul dalam pertemuan di kediamannya pada 30 Januari lalu.

Datuk Seri Najib memfailkan permohonan itu untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan perintah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Perintah tambahan itu supaya beliau menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini