comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Tak mengaku ceroboh rumah sebelum tertidur akibat mabuk

JELEBU: Lelaki yang menceroboh masuk sebuah rumah sebelum tertidur akibat mabuk dalam kejadian pada Isnin lalu dihadapkan ke Mahkamah Jelebu hari ini.

Tertuduh, B Raman, 41, dari Bahau, Jempol bagaimanapun tidak mengaku salah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Majistret Norshazwani Ishak.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa pada jam 6.30 pagi, 23 Januari lalu didapati menceroboh sebuah rumah di Taman Tanjung Bunga dengan niat melakukan satu perbuatan yang menyalahi undang-undang.

Justeru tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut seksyen sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah memberi jaminan berjumlah RM16,000 dengan dua penjamin terdiri daripada ahli keluarga selain diarah melapor diri sekali setiap bulan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 22 Februari depan.

Pendakwaan dikendalikan Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khairie manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki tertidur selepas masuk ke dalam sebuah rumah.Lelaki itu dipercayai meminum minuman keras milik penghuni rumah sebelum mabuk dan tertidur.

Loading...
Terkini