comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Tujuh lelaki mengaku salah khianat terbalikkan kereta

TUJUH lelaki termasuk empat penghantar makanan p-hailing mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan melakukan khianat dengan merosakkan dan menterbalikkan sebuah Perodua Myvi, Khamis lalu. FOTO: IZZ LAILY HUSSEIN / FOTO

Johor Bahru : Tujuh lelaki termasuk empat penghantar makanan p-hailing mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan melakukan khianat dengan merosakkan dan menterbalikkan sebuah Perodua Myvi, Khamis lalu.

Tertuduh, Muhammad Adam Abd Rahim, 18; Mohamad Hairul Hasraf Seeni Abdul Cader, 22; Morrisson Malvin Anak Mada, 19; Shaikh Al Amin Idrus, 21; Nur Khairul Amal Abdul Harsir, 19; Daniel Haziq Syikhanna, 21; dan Romie Rahimi, 41 membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.

Kesemua mereka didakwa bersama-sama melakukan khianat dengan merosakkan cermin dan pintu kereta serta menterbalikkan sebuah Perodua Myvi berwarna biru milik Tan Jing Hui, 21 di persimpangan stesen minyak Petronas Kota Masai 2, Jalan Nenas, Taman Kota Masai, kira-kira 9.40 malam, Khamis lalu.

Perbuatan itu dilakukan dengan cara menumbuk, menendang, menghentak menggunakan topi keledar, membaling batu dan menterbalikkan kereta terbabit secara beramai-ramai sehingga menyebabkan mangsa kerugian kira-kira RM15,000.

Dakwaan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqiilah Ahmad Rofaie memberitahu mahkamah bahawa kesalahan di bawah seksyen itu tidak boleh dijamin, namun mencadangkan jumlah jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh, sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara membenarkan jaminan.

Semua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon supaya jumlah jaminan yang dicadangkan pihak pendakwaan dikurangkan dengan alasan pendapatan mereka hanya antara RM1,200 hingga RM1,500 sebulan.

Selain empat tertuduh yang bekerja sebagai penghantar makanan p-hailing, dua lagi tertuduh bekerja sebagai pekerja membaiki mesin basuh dan televisyen serta menjual topi, manakala seorang lagi sedang melanjutkan pelajaran.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan, tidak boleh mengganggu saksi dan mangsa selain perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi fakta manakala hukuman pada 18 Disember depan. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini