comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bapa tinggalkan 4 anak, mengaku salah  

IPOH: Seorang bapa mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan mengabaikan empat anaknya yang berusia antara 10 bulan hingga 11 tahun, Oktober lalu.

Tertuduh, 33, menggangguk dan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azizah Ahmad.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu dituduh melakukan pengabaian terhadap tiga orang anak lelakinya masing-masing berumur 11 tahun, tiga tahun dan 10 bulan serta seorang lagi anak perempuannya yang berumur enam tahun, pada jam 10.44 pagi di hadapan Kompleks Pejabat dan Kuarters Kerajaan di Kampung Gajah, 23 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang melanggar Seksyen 33(a) Akta Kanak- Kanak 2001 dan boleh dihukum denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Penganggur itu juga berdepan hukuman mengikut subseksyen akta sama yang boleh dikenakan hukuman melaksanakan khidmat masyarakat minimum 36 jam dan maksimum 240 jam secara agregat yang mesti dilaksanakan dalam tempoh tidak melebihi enam bulan dari tarikh perintah dan tertakluk kepada sebarang syarat yang ditetapkan oleh mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Evangelin Simon Silvaraj manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 Februari tahun hadapan sebagai sebutan semula kes sementara lantikan peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Terdahulu, media melaporkan empat beradik ditinggalkan di Kompleks Pentadbiran Perak Tengah, Kampung Gajah pada 23 Oktober lalu.

Turut ditinggalkan bersama kanak-kanak malang itu, satu bungkusan plastik yang hanya berisi susu dan lampin pakai buang.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah dilaporkan berkata dua individu dipercayai ibu bapa kepada kanak-kanak malang itu ditahan dalam tangkapan berasingan selepas pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kampung Gajah.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini