comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Wanita mengandung & adik angkat curi duit tabung surau

FOTO: NSTP

MELAKA: Wanita sarat mengandung dan adik angkat didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas tuduhan mencuri duit tabung surau berjumlah RM300, April lalu.

Puteri Norazila Paimen@Mohamed Inson, 32, mengaku bersalah sementara Nur Hidayah Abdullah,24, minta dibicarakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Mereka yang tidak bekerja didakwa dengan niat curang mencuri wang tabung surau sebanyak RM300 milik di Surau Al-Hidayah, Taman Pertam Jaya pada 7 April lalu.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan dan bagi kesalahan kali kedua atau yang kemudian boleh dipenjara dan denda atau sebat.

Mengikut fakta kes, bendahari surau itu (pengadu) menyedari satu daripada tabung surau diumpil ketika hendak menunaikan solat Asar.

Hasil penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pengadu melihat dua wanita memasuki ruang jemaah lelaki dan mengumpil satu tabung di hadapan pintu masuk surau sebelum beredar beberapa minit kemudian dengan menunggang motosikal jenis SYM.

Terdahulu, Peguam Ng Fun Boon memohon hukuman ringan dikenakan terhadap Nur Hidayah dengan alasan anak guamnya itu mempunyai empat anak dengan seorang daripadanya sedang dirawat di hospital.

Beliau juga memohon jaminan rendah bagi Puteri Norazila dengan mengambil kira tertuduh kini sedang sarat mengandung dengan usia kandungan mencecah lapan bulan.

Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri yang mengendalikan kes memohon hukuman setimpal dikenakan kepada Nur Hidayah dan menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi Puteri Norazila.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat bulan daripada tarikh ditangkap iaitu 17 Jun lalu dan denda RM1,000 atau satu bulan penjara jika gagal bayar terhadap Nur Hidayah manakala kakak angkatnya dibenarkan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes ditetapkan 31 Julai depan.

Loading...
Terkini