comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Penganggur mengaku tumbuk, hempas bapa dipenjara 8 bulan

Muhammad Fahmi dihukum penjara lapan bulan kerana menumbuk kepala dan menghempas badan bapanya ke tanah, minggu lalu. – FOTO: NSTP

MELAKA: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, selepas mengaku bersalah atas tuduhan mencederakan bapa kandungnya dengan menumbuk kepala dan menghempas badan mangsa ke tanah, minggu lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman  menetapkan hukuman penjara bermula dari tarikh sabitan, semalam.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Fahmi Ramli, 29, didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas ayahnya, Ramli Samad, 62, dengan menumbuk di kepala dan menghempas badannya ke tanah berbatu di No 2154-2 Jalan Bunga Raya 4, KM4, Kampung Semabok, di sini, pada 13 Jun lalu, jam 7.06 malam.

Dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 326A KK yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri mencadangkan hukuman setimpal diberikan kerana tertuduh mempunyai rekod lampau atas kesalahan sama, namun Muhammad Fahmi merayu hukuman ringan.

Pada prosiding sama, tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua lagi pertuduhan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 352 KK, iaitu menumbuk bapanya dan menggunakan kekerasan jenayah dengan membaling objek seperti batu, kayu dan besi terhadap mangsa di alamat sama pada jam 11.05 malam 15 Mei 2022.

Seksyen 352 KK memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya.

Tertuduh juga mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu mengambil dadah jenis methamphetamine di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Melaka Tengah pada tarikh sama, jam 4.45 petang.

Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun dan pengawasan polis maksimum tiga tahun.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,500 dan menetapkan 24 Julai depan untuk sebutan kes.

Loading...
Terkini