comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 10 sahabat sumbang bakti atasi masalah longkang, parit tersumbat

FOTO: Ihsan Skuad Johor Bersih

JOHOR BAHRU: “Sudah empat bulan kami secara sukarela turun padang membersihkan longkang dan parit tersumbat yang menyumbang kepada masalah banjir kilat di bandar raya ini,” kata sukarelawan, Mohd Karami Rashid, 35.

Karami berkata, sebagai anak Johor yang berasal dari Kampung Bakar Batu, di sini, dia bersama sekumpulan rakannya terpanggil untuk berbakti kepada masyarakat dengan cara tersendiri.

Menurutnya, biarpun aktiviti kemasyarakatan dilakukan itu agak mencabar kerana perlu melakukan pembersihan di lokasi yang kotor termasuk longkang dan parit namun mereka menyahut cabaran itu.

Katanya, apa yang dilakukan oleh kumpulannya yang diwakili 10 sukarelawan itu adalah demi memupuk kesedaran ramai untuk bersama-sama mengekalkan keindahan bandaraya Johor Bahru.

“Kesemua kami bekerja di Singapura sebagai pekerja bahagian pembersihan, sekiranya kami dapat membersihkan negara lain apatah lagi berbakti si negara sendiri, negara tanah tumpah darah.

“Kami kebiasaannya melakukan kerja pembersihan pada hujung minggu mahupun selepas pulang dari kerja kerana waktu kerja kami antara 7.30 pagi hingga 5.30 petang,” katanya.

Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, dia dan rakannya juga peka terhadap soal keselamatan diri ketika menjalankan kerja pembersihan kerana sebelum ini pernah menghadiri kursus keselamatan ketika bekerja di negara jiran.

Menurutnya, malah 90 peratus daripada mereka juga merupakan pekerja bahagian pembersihan yang berpengalaman.

“Sehingga kini kami sudah membersihkan lebih lima lokasi termasuk berhampiran jambatan Permas Jaya, Tanah Perkuburan Kampung Bakar Batu, Taman Iskandar dan berhampiran Pasar Borong Pandan.

“Pada peringkat permulaan, kami mengumpul duit sesama sendiri bagi membeli peralatan pembersihan namun baru-baru ini kami juga menerima sumbangan barangan daripada kerajaan negeri.

“Apabila aktiviti ini ditular di media sosial, kami menerima sambutan di luar jangkaan termasuk permintaan bagi membersihkan 20 hingga 30 lokasi di sekitar Johor,” katanya.

“Kami menggelar kumpulan ini sebagai Skuad Johor Bersih dan usaha kami ini seiring dengan Inisiatif Johor Bersih yang dilaksanakan kerajaan negeri sejak 2022 membantu meningkatkan kesedaran rakyat mengenai kepentingan menjaga kebersihan.

“Saya juga merakam video aktiviti kami serta berkongsi kepada umum supaya ia dapat memberi semangat kepada orang ramai untuk turut mengambil bahagian dalam khidmat bakti.

“Sebagai rakyat jelata, kita juga seharusnya memainkan peranan untuk mengekalkan keindahan kawasan sekitar tanpa bergantung sepenuhnya kepada agensi bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini