comscore
Tumpuan :
Nasional

101 jururawat asing lepas saringan bagi menampung keperluan di hospital swasta

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memastikan hanya jururawat terlatih warga asing (JTWA) yang berkualiti dibenarkan masuk bagi menampung keperluan di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata setakat Oktober lalu hanya 101 jururawat asing melepasi saringan ditetapkan oleh KKM.

“KKM tidak mahu terima bekalan jururawat yang tidak berkualiti. Setakat ini, jururawat berkenaan adalah dari India, Sri Lanka, Filipina dan Indonesia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa 2024, di sini hari ini.

Sambutan Hari Jururawat tahun ini bertemakan”Jururawat kami. Masa depan kita. Kuasa Penjagaan Ekonomi” itu turut dihadiri 1,250 jururawat daripada sektor kerajaan dan swasta.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan terdahulu, Dr Zaliha Mustafa memaklumkan pengambilan JTWA tidak boleh melebih 40 peratus di setiap fasiliti.

Selain itu, jururawat berkenaan juga perlu menduduki ujian Peperiksaan Kelayakan Lembaga Jururawat Malaysia bagi Jururawat Terlatih Asing (Malaysian Nursing Board Qualification Examination for Foreign Trained Nurses) yang dikendalikan Lembaga Jururawat Malaysia.

Pengambilan jururawat asing berkenaan sah bagi tempoh 12 bulan sahaja iaitu mulai 1 Oktober 2023 sehingga 30 September 2024 dan pelanjutan perkhidmatan dibenarkan selama 12 bulan mengikut kelulusan perakuan pengamalan sementara (TPC) JTWA.

Sementara itu, dalam ucapannya Lukanisman berkata negara ini menyediakan hampir 139,000 tenaga dan peluang pekerjaan dalam bidang kejururawatan.

Daripada jumlah itu, hampir 75,000 berkhidmat di bawah KKM manakala selebihnya berada dalam sektor swasta.

Dalam majlis berkenaan, Lukanisman turut menyampaikan tiga Anugerah Tokoh Jururawat bagi mengiktiraf jasa dan bakti mereka dalam perkhidmatan.

Anugerah Tokoh Perkhidmatan diberikan kepada Sapiah Abdul Hadi; Tokoh Pendidikan, Catherine Pero dan anugerah Tokoh Perkhidmatan Komuniti diberikan kepada S Kalyani.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini