comscore
Tumpuan :
Nasional

10,578 termasuk dalang ditahan, dadah RM49 juta dirampas

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris (tengah) hadir menyaksikan pelupusan barang kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak di IPK Perak, Ipoh, hari ini. – FOTO: NSTP

IPOH: Polis Perak menahan seramai 10,578 individu atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini membabitkan rampasan bahan terlarang itu mencecah RM49 juta.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, berkata 76 individu ditangkap mengikut Akta Langkah-langkah Pencegahan Khas 1985 yang kebanyakannya adalah dalang atau perancang serta ‘financier’ (pembiaya) sindiket yang ditumpaskan.

Menurutnya, pelbagai aset bernilai RM7.5 juta milik pengedar dadah turut disita.

Tindakan sita mengikut Akta Pelucuthakan Harta 1988 membabitkan aset seperti rumah, tanah, barang kemas dan kenderaan serta pembekuan akaun bank.

Dalam pada itu, seramai 1,891 individu ditangkap bagi kesalahan mengedar dadah, termasuk 559 mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman mati.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri juga membongkar lapan makmal haram memproses dadah serta menahan 21 individu.

“Bagi tangkapan memiliki dadah, 8,611 individu ditangkap iaitu peningkatan sebanyak tujuh peratus. Jumlah rampasan dadah tertinggi adalah Erimin 5, heroin dan syabu,” katanya selepas Majlis Perasmian Pelupusan Barang Kes JSJN Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, hari ini.

Dadah bernilai RM2.11 juta dilupuskan oleh sebuah syarikat pelupusan sisa pepejal berpangkalan di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan selaku kontraktor yang dilantik.

Ia membabitkan 3,706 kes yang selesai daripada 2007 hingga 2023.

Kata Azizi, daripada 5,117 kertas siasatan yang dibuka mengikut ADB 1952 dan Akta Racun 1952 setakat September lalu, 4,908 kes selesai dituduh di mahkamah.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini