comscore
Tumpuan :
Bencana

[VIDEO] 13 kenderaan rosak dihempap pokok tumbang

KUALA LUMPUR: Hujan lebat serta ribut sejak petang tadi menyebabkan pokok tumbang di beberapa lokasi di sekitar ibu kota sehingga merosakkan kenderaan, rumah dan menghalang laluan.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan pokok tumbang di 19 lokasi sekitar ibu negara hingga jam 8.12 malam tadi.

“19 lokasi itu termasuk Jalan Kuching; Jalan Ampang; Jalan Jinjang Aman 2; Jalan Kampung Padang Balang; Jalan Danau Saujana 1 Danau Kota, Jalan Sultan Ismail (Bukit Nanas); Jinjang Selatan; Astana Mont Kiara; PSN Raja Chulan dan Kampung Padang Balang.

“Selain itu, pokok tumbang juga dilaporkan di Jalan Dato Senu 26, Jalan Syed Putra, Jalan Stesen Sentral 2, Jalan Ipoh (SMK Batu Muda), Tasik Titiwangsa, Jalan Udang Kepal Segambut, Masjid Negara, Jalan Santan, Segambut dan Jalan 2/23D Danau Kota,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Keadaan khemah di Pasar Malam Pandan Indah Jumaat selepas ribut, malam tadi. -FOTO: Twitter

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur (PGOKL) berkata lapan kereta dan lima motosikal mengalami kerosakan akibat dihempap pokok tumbang susulan ribut yang melanda di beberapa lokasi di sekitar ibu negara, hari ini.

“Di Jalan Sultan Ismail, sebatang pokok tumbang menghempap dua buah kereta Toyota Yaris dan Proton Exora manakala di Taman Bukit Angkasa pokok tumbang menghempap sebuah Perodua Myvi.

“Empat kereta dihempap sebatang pokok tumbang di Jalan Ayer Jernih, Setapak dan sebuah Toyota Alphard turut dihempap pokok tumbang di Bayu Mont Kiara, Sri Hartamas.

Anggota bomba ke lokasi pokok tumbang yang merosakkan kenderaan di ibu negara, hari ini. -FOTO: Ihsan JBPM

“Sementara itu, lima motosikal dihempap sebatang pokok tumbang berhampiran Pejabat Kesihatan Kepong,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Antara kawasan lain terbabit termasuk di Kampung Attap, Flat Danau Kota, Jalan Sultan Ismail dan Jalan Ampang.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan buat masa ini dan kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan.

Loading...
Terkini