comscore
Tumpuan :
Nasional

159,027 calon lepasan SPM ditawar tempat ke IPTA

FOTO: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: 159,027 calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang mengemukakan permohonan menerusi UPUOnline ditawarkan tempat bagi melanjutkan pengajian ke peringkat institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, keputusan permohonan kemasukan meliputi universiti awam (UA), politeknik, kolej komuniti (KK) dan institusi latihan kemahiran awam (ILKA) boleh disemak mulai hari ini.

“Bagi mereka yang menghadapi masalah tentang isu kewangan untuk mendaftar, jangan khuatir. Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ada menyediakan beberapa inisiatif bagi membantu anda semua.

“Sebagai pelajar tentunya pihak kerajaan akan membantu. Ini termasuk bantuan Skim Wang Pendahuluan Pinjaman, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), biasisiswa dan insentif Sulung 2.0. Yang penting anda daftar belajar,” katanya menerusi satu video dan mengucapkan tahniah kepada mereka yang mendapat tempat.

Jelasnya, kemasukan pelajar ke institusi tersebut dibuat berasaskan prinsip meritokrasi dengan menyusun semua calon yang layak mengikut markah merit tertinggi hingga terendah.

Menurut Zambry, prinsip itu dilaksanakan bagi memberi ruang kepada mereka yang mempunyai kelayakan sewajarnya.

“Bagi anak yang tidak berjaya mendapat tempat atau tawaran kali ini, jangan putus asa. Anda boleh kemukakan permohonan rayuan di UPUonline bermula hari ini sehingga 7 Julai 2024,” katanya.

Sementara itu, KPT dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya telah menerima 214,173 permohonan yang layak bagi lepasan SPM untuk melanjutkan pengajian menerusi UPUOnline tahun ini.

Daripada 159,027 calon yang ditawarkan tempat, seramai 83,667 calon ditawarkan di UA, 43,531 calon ditawarkan di politeknik, KK (26,474) dan ILKA (5,355).

Tawaran laluan khas pula adalah sebanyak 16,593 iaitu 15,082 bagi kategori B40, 425 orang kurang upaya (OKU), 732 atlet dan 354 Orang Asli.

Selain itu, seramai 31 calon lepasan institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapat tawaran.

Sebanyak 504 program pengajian ditawarkan bagi sesi kali ini iaitu 104 Sijil, 53 Asasi, 346 Diploma dan satu Ijazah Sarjana Muda.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini