comscore
Tumpuan :
Nasional

1MDB: Kertas siasatan sudah lengkap, PDRM tunggu Peguam Negara dakwa Jasmine Loo

KUALA LUMPUR: Siasatan terhadap Jasmine Loo berkaitan 1MDB sudah selesai dijalankan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu keputusan Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk mendakwa bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan.

“Kertas siasatan sudah diserahkan kepada AGC dan kita menunggu keputusan AGC untuk tuduh.

“Pada masa sama, PDRM melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) sedang berusaha ke arah mendapatkan kesemua aset dan harta 1MDB berjumlah RM93.2 juta termasuk di Singapura dan Amerika Syarikat (AS),” katanya dalam sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Bulan lalu, PDRM mengesahkan sudah menyita dan merampas sebahagian aset hasil penyelewengan 1MDB yang didaftarkan atas nama Jasmine Loo.

Aset yang merangkumi hartanah, akaun bank, lukisan, beg tangan berjenama mewah, jam tangan dan dokumen berkaitan dianggarkan bernilai RM93.2 juta iaitu nilai semasa pembelian dibuat pada 2013.

Semua aset ini membabitkan pembelian hartanah dan barangan mewah New York, London dan Singapura serta pelaburan di Amerika Syarikat yang semuanya didaftar atas nama Jasmine.

Terdapat juga sembilan lukisan mewah termasuk dua daripadanya lukisan Pablo Picasso.

Loading...
Terkini