comscore
Tumpuan :
Nasional

2 maut akibat keracunan makanan disediakan program sekolah

Foto hiasan

RINGKASAN BERITA

  • Polis mengesahkan budak perempuan dua tahun dan remaja 17 maut akibat keracunan daripada makanan yang disediakan ketika satu program di sebuah sekolah di Gombak.
  • Mangsa alami muntah, cirit-birit dan demam. Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Selayang.

GOMBAK: Seorang budak perempuan berusia dua tahun dan remaja 17 tahun maut, dipercayai akibat keracunan daripada makanan yang disediakan di sebuah sekolah di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan daripada keluarga kedua-dua mangsa berhubung kejadian itu semalam.

“Mangsa pertama berusia 17 tahun memakan makanan yang dibawa balik oleh ibunya daripada satu program di sebuah sekolah di sini. Mangsa serta ibu dan bapanya mengalami cirit-birit selepas memakan makanan itu kelmarin.

Artikel susulan: 82 alami gejala keracunan makan bihun, telur goreng berubah rupa dan rasa – JKNS

“Jam 1.30 tengah hari semalam mangsa mula tidak sedarkan diri lalu bapanya menghubungi talian kecemasan MERS 999 dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Ariffin berkata, mangsa kedua adalah anak kepada seorang pengawal keselamatan yang bertugas di sekolah berkenaan.

“Jam 10.45 semalam, mangsa mengalami demam, muntah-muntah dan cirit-birit lalu dibawa ke Hospital Selayang oleh ibunya.

“Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital. Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Selayang bagi tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, siasatan setakat ini diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR).

Artikel susulan: Keracunan makanan: Polis akan panggil katerer, penganjur, guru untuk bantu siasatan – KP Selangor

Menurutnya, sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Khalpna Rajandhiran di talian 012-5011 8901, atau Ketua Balai Gombak, Inspektor Heirme Che Mad 014-238 9151.

Terdahulu, media melaporkan seorang remaja maut selepas dipercayai memakan tiga biji telur yang dibawa pulang oleh ibunya daripada satu program di sekolah.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, beliau mengesahkan menerima laporan berhubung kes keracunan makanan itu.

Menurutnya, sekolah rendah agama di Sungai Cincin terbabit menganjurkan program amal islami sebagai tuan rumah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini