comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 82 alami gejala keracunan makan bihun, telur goreng berubah rupa dan rasa – JKNS


SHAH ALAM: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan 82 daripada 247 orang yang terdedah mengalami gejala keracunan makanan selepas menikmati sarapan pada Program Kemahiran Amal Islami (KAMIL) Peringkat Daerah Gombak, Sabtu lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Ummi Kalthom Shamsudin berkata, keracunan makanan itu disyaki berpunca daripada bihun goreng dan telur mata yang didakwa sudah berubah rupa dan rasa.

Foto hiasan

Individu mengalami gejala terdiri daripada urus setia, guru, pekerja sekolah dan ahli keluarga yang berusia antara 18 bulan hingga 58 tahun, dengan makanan berkenaan dibekalkan pengendali makanan dari luar.

“Gejala utama dilaporkan adalah cirit-birit, sakit perut, demam, muntah dan loya.

“Sejumlah 28 kes sudah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar dan tiada kes dimasukkan ke wad.

“Sebanyak dua kes dilaporkan meninggal dunia tanpa menerima sebarang rawatan dari mana-mana fasiliti kesihatan membabitkan remaja lelaki berusia 17 tahun dan bayi perempuan berusia 19 bulan.

“Kedua-duanya memakan makanan dipercayai dibawa pulang ahli keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, JKNS masih menjalankan siasatan bagi mengesan kes baharu dan tindakan kawalan serta pencegahan bagi mengawal kejadian wabak keracunan makanan sedang dijalankan.

Katanya, sampel makanan diambil pada hari kejadian sudah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) di Sungai Buloh bagi mengenal pasti punca keracunan makanan.

JKNS meminta individu terbabit yang mengalami gejala segera mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan bagi mengelakkan komplikasi keracunan makanan yang tidak diingini.

Terdahulu, media melaporkan seorang budak perempuan berusia dua tahun dan remaja 17 tahun maut, dipercayai akibat keracunan selepas memakan bihun dan telur goreng yang dibawa pulang dari sebuah sekolah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sini, kelmarin.

Difahamkan program itu disertai 30 sekolah rendah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

| ARTIKEL BERKAITAN

 

Loading...
Terkini