comscore
Tumpuan :
Nasional

2 petugas KKM ditempatkan di setiap pusat pengundian seluruh negara

Calon Barisan Nasional Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin ditemui media ketika Pilihanraya Umum ke-15 di SK Kota Damansara Seksyen 7. – Foto: STR/ Aziah Azmee

SUNGAI BULOH: Kementerian Kesihatan (KKM) menempatkan dua petugasnya di setiap pusat pengundian di seluruh negara bagi melancarkan proses pengundian untuk individu positif COVID-19 ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang juga calon Barisan Nasional (BN) Sungai Buloh bagaimanapun berkata, bagi pusat pengundian yang kecil pihaknya menempatkan hanya seorang pegawai KKM bagi memantau situasi COVID-19.

“Setiap pusat pengundian, KKM letak sekurang-kurangnya dua pegawai, mungkin yang kecil (pusat pengundian) kita letak seorang. Setakat ini makluman yang diterima proses pengundian (individu positif COVID-19) berjalan lancar.

“Ada kenalan saya yang positif COVID-19 juga maklumkan kepada saya yang prosesnya mudah, hanya tunjukkan status MySejahtera (kepada pegawai KKM) dan kemudiannya terus dibawa masuk ke tempat mengundi dan boleh terus balik,”katanya kepada media
selepas melakukan tinjauan proses pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 7, Kota Damansara, di sini hari ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pengundi di sekolah berkenaan, bekas Ahli Parlimen Rembau itu memaklumkan setakat ini terdapat 10 individu positif COVID-19 yang mengundi bagi Parlimen berkenaan.

Sementara itu, menjawab persoalan mengenai perancangannya sekiranya memenangi kerusi Parlimen berkenaan, Khairy berkata terlalu awal untuk menjawab soalan terbabit.

Namun Khairy menyatakan sekiranya diberi mandat berkenaan, beliau akan menyenaraikan setiap permasalahan yang diterimanya daripada penduduk setempat.

“Saya akan senaraikan setiap permasalahan itu dan akan memberi keutamaan kepada isu penting. Kita kena ada rangka kerja yang jelas kerana tidak boleh selesaikan semua masalah itu dalam satu malam.

“Setiap permasalahan itu kita akan bahagikan mana (masalah) di peringkat kerajaan persekutuan , kerajaan negeri dan majlis perbandaran sebelum mencari jalan penyelesaian bagi setiap jenis isu itu. Itu perkara utama sekiranya saya menang,” katanya.

Loading...
Terkini